Minggu lepas saya dapat WhatsApp dari sorang pembeli. Orangnya masih muda. Dia nak tahu pasal rumah low cost kat Tasek. Ayat dia lebih kurang macam ni: “Kak, saya nak beli rumah low cost kat Tasek. Orang kata kena daftar LPHP dulu. Betul ke?”

Ya, betul. Tapi yang buat saya geleng kepala, ramai yang baru tahu pasal benda ni lepas dah bayar booking.

Di Perak, rumah low cost subsale ni masuk bawah kategori rumah kawalan. Maksudnya, bila owner nak pindah milik kepada pembeli, kena dapat kebenaran Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dulu. Ianya wajib. Kalau kebenaran tu belum dapat, peguam tak boleh buat apa-apa. Bank pun tak boleh teruskan pinjaman. Ini buatkan semua orang tersangkut. So, apa yang anda patut tahu sebelum pergi tengok rumah? Saya cerita ikut soalan yang selalu orang tanya saya, satu-satu.

“Rumah Saya, Suka Hati Saya Nak Jual Kat Siapa”

Pasangan muda melihat rumah low cost di Ipoh bersama ejen hartanah
Semak geran dan kelayakan dulu sebelum jatuh hati pada rumah low cost.

Owner ni dari Pengkalan. Masa saya terangkan pasal consent, dia terus cakap: “Geran nama saya, loan pun saya yang bayar dua puluh tahun, kenapa pulak kerajaan nak sibuk siapa yang beli?”

Jujurnya saya faham kenapa dia bengang, kalau saya kat tempat dia pun mungkin rasa benda yang sama. Mungkin 5 kali ganda bengangnya. Cuma bila kita buka geran rumah low cost, biasanya ada catatan sekatan kepentingan yang tulis tanah tu tak boleh dipindah milik kalau tak ada persetujuan Pihak Berkuasa Negeri. Syarat tu dah ada dari hari pertama dia beli dengan developer. Masa tu orang lebih pandang harga yang murah dan ansuran bulanan yang tak menyeksa, ayat kecil dalam geran tu memang jarang orang ambil peduli, dan developer pun tak ada la nak duduk terangkan satu-satu. Sebab sekatan ni dibuat pun senang je sebenarnya, kerajaan tak nak rumah mampu milik jadi barang spekulasi.

Akhirnya owner tu faham jugak, walaupun ambil masa.

Siapa Layak Beli Rumah Low Cost Subsale di Perak

Bab kelayakan ni la yang paling banyak salah faham. Ramai lagi pegang angka RM3,000, angka lama yang pernah tersebar dulu, lepas tu terus fikir “ah, gaji aku lebih, tak layak la,” padahal belum cuba pun. Untuk subsale kat Perak, had pendapatan isi rumah (gaji suami dengan isteri dicampur) sebenarnya ikut harga rumah yang anda nak beli. Saya letak dalam jadual supaya senang tengok:

Harga jualan rumah Had pendapatan isi rumah
RM100,000 dan ke bawah Tidak melebihi RM5,000
RM100,001 hingga RM250,000 Tidak melebihi RM8,000
RM250,001 dan ke atas Tiada had

Lagi satu, pembeli kena lahir di Perak, ataupun dah tinggal di Perak paling kurang lima tahun. Yang ramai terlupa, kena daftar dalam sistem e-perumahan LPHP bawah kategori Rumah Perakku. Turutannya daftar dulu, lepas tu baru cari rumah, bukan dah jumpa rumah baru kelam-kabut nak daftar.

Senarai penuh dengan dokumen yang diminta ada saya tulis dalam panduan syarat subsale kos rendah dari LPHP kalau nak rujuk. Cuma syarat macam ni kadang-kadang dipinda, jadi elok la anda check juga pengumuman terkini kat portal rasmi Kerajaan Negeri Perak.

Cash Buyer Rumah Low Cost Pun Kena Ikut

“Kak, saya bayar cash. Itu pun kena isi borang ke?”

Kena. Kebenaran pindah milik tu melekat pada rumah, tak kira anda bayar macam mana. Beza cash buyer cuma dia tak perlu tunggu offer letter dari bank, itu je.

Yang ambil loan, prosesnya panjang sikit la. Mula-mula sign perjanjian, kemudian peguam hantar permohonan consent, bank pula buat valuation, dan lepas tu baru margin of finance dimuktamadkan. Kalau valuation keluar rendah dari harga dalam perjanjian, beza tu anda kena tambah sendiri, atas downpayment yang memang dah kena bayar. Untuk rumah low cost benda ni tak selalu jadi sebab harga dia memang dah rendah, tapi saya pernah jumpa jugak, biasanya bila owner letak harga yang agak “berangan”.

Berapa lama consent nak lulus? Susah nak bagi tempoh tepat sebab ia bergantung pada dokumen lengkap ke tak dan berapa panjang giliran masa tu. Apa pun, jangan cepat sangat bagi notis pada tuan rumah sewa yang anda nak keluar.

Sebelum Anda Bayar Booking Rumah Kos Rendah

Kebanyakan kes rumah low cost yang saya tengok tersangkut, puncanya benda remeh, benda yang kalau disemak awal, seminggu pun dah boleh settle.

  • Check dulu status pendaftaran e-perumahan anda.
  • Sebelum viewing kali kedua, minta owner bagi salinan geran. Tengok bahagian sekatan kepentingan dengan jenis pegangan. Kalau nama pemilik berdaftar dalam geran lain dengan orang yang tengah berurusan dengan anda, berhenti dulu, tanya apa ceritanya.
  • Kira betul-betul gaji suami isteri, elaun tetap jangan lupa masukkan sekali.
  • Bajet untuk yuran guaman, stamp duty dan kos pindah milik lain pun kena ada. Rumah murah tak bermaksud tak ada kos sampingan, dan bahagian ni ramai yang ambil mudah.

Yang paling buang masa, ikut pengalaman saya, bila pembeli tawar-menawar harga bersungguh-sungguh tapi belum pastikan pun diri sendiri layak. Pernah ada satu pasangan dari Simpang Pulai, harga dah setuju, deposit dah masuk, lepas tu baru dapat tahu gaji gabungan mereka terlebih sikit dari had. Deposit tu dipulangkan balik, tapi tiga minggu dah terbuang macam tu je.

Hal lain pasal subsale, macam keadaan fizikal rumah atau tunggakan yuran penyelenggaraan, ada saya tulis dalam artikel risiko beli rumah terpakai kalau nak baca.

Jadi kalau memang dah nekad nak beli rumah low cost tahun ni, buka akaun e-perumahan LPHP minggu ni juga, sebelum anda mula scroll listing satu-satu.

Kalau nak saya tolong tengokkan kelayakan anda atau status geran rumah yang anda minat, boleh terus hubungi saya.



Catatan Penulis: Artikel ini adalah untuk tujuan maklumat sahaja dan tidak boleh dianggap sebagai nasihat kewangan. Individu perlu berunding dengan pakar kewangan atau perunding hartanah sebelum membuat keputusan pembelian hartanah. eBook Hartanah di Perak